Tan Sri Dr. Nik telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah ASNB pada 6 Januari 2017. Beliau juga menjadi ahli Lembaga Pengarah di pelbagai organisasi termasuk Fraser & Neave Holdings Berhad, Al-Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad, UMW Holdings Berhad, MSIG Insurance (Malaysia) Berhad, T7 Global Berhad (sebelum ini dikenali sebagai Tanjung Offshore Berhad), Perodua Sales Sdn Bhd, Ranhill Holdings Berhad dan Chin Hin Group Berhad. Tan Sri Dr. Nik juga Pengerusi Perbadanan Dana Pampasan Pasaran Modal (badan korporat yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia) dan juga Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura.
Tan Sri Dr. Nik berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dengan kepujian dari Universiti Buckingham, Sarjana Undang-undang (LLM) dari Queen Mary College, Universiti London dan Doktor Falsafah (PhD) dalam Undang-undang dari Pusat Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS), Universiti London, dan merupakan Barrister-at-Law bertauliah dari Lincoln’s Inn. Selain itu, beliau juga memiliki Diploma Lepasan Ijazah dalam Undang-undang Syariah dan Amalan (dengan kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau juga adalah Felow di Financial Services Institute of Australasia (FINSIA) dan telah diterima sebagai Ahli Profesional Institut Kewangan Islam Profesional Bertauliah (CIIF).
Tan Sri Dr. Nik kini merupakan Pengerusi dan Rakan Kongsi Kanan Zaid Ibrahim & Co, firma undang-undang yang terbesar di Malaysia dan ahli rangkaian ZICOlaw yang mempunyai pejabat di Bangkok, Brunei, Hanoi, Ho Chi Minh, Vientiane, Melbourne, Phnom Penh, Singapura dan Yangon serta pejabat bersekutu di Jakarta.
Sebelum ini, beliau bekerja di sebuah firma akauntan dan di Maybank, Kuala Lumpur. Beliau pernah menjadi Sarjana Pelawat Fulbright di Harvard Law School pada tahun 1996/1997 dan Sarjana Pelawat Chevening di Pusat Pengajian Islam Oxford, Universiti Oxford pada tahun 2004/2005. Tan Sri Dr. Nik ialah bekas Timbalan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sebelum menyertai Zaid Ibrahim & Co beliau berkhidmat dengan firma undang-undang antarabangsa, Baker & McKenzie.
Tan Sri Dr. Nik mempunyai lebih daripada 25 tahun pengalaman dalam hal-hal undang-undang menggabungkan kewangan Islam, perbankan, kewangan luar pesisir, penyusunan semula hutang dan korporat, undang-undang korporat dan komersil antarabangsa. Beliau pernah menjadi penasihat undang-undang untuk beberapa penggabungan dan pengambilalihan dan memberi nasihat secara am mengenai isu-isu pengawalseliaan dan pematuhan.