- Hibah Amanah
- Apakah yang dimaksudkan dengan Hibah Amanah?
Hibah Amanah adalah gabungan konsep Hibah dan Amanah. Ia adalah pemberian baki pelaburan tabung unit amanah ASNB (Harta Hibah) oleh pemegang unit (Pemberi Hibah) atas dasar kasih sayang pada masa hayat Pemberi Hibah berdasarkan terma dan syarat di dalam Surat Ikatan Hibah Amanah. Tuntutan pembayaran Harta Hibah kepada Penerima Hibah dilakukan selepas kematian Pemberi Hibah.
- Apakah yang dimaksudkan dengan Harta Hibah?
Harta Hibah adalah tabung unit amanah ASNB yang dihibahkan oleh Pemberi Hibah pada masa hayat melalui Surat Ikatan Hibah Amanah:
- Tabung unit amanah mestilah dihibahkan kesemua unit atau 100% kepada Penerima Hibah Amanah
- Baki unit pelaburan dalam setiap tabung yang dihibahkan mestilah berjumlah 1,000 unit dan ke atas sepanjang tempoh Hibah Amanah
- Tabung unit amanah melibatkan unit milik penuh/mutlak Pemberi Hibah dan bukan unit bercagar
- Mengapa ASNB tidak mengadakan sistem penamaan yang lebih mudah seperti KWSP dan Tabung Haji?
Berdasarkan undang-undang Malaysia, unit amanah dikategorikan sebagai harta persendirian seperti saham-saham syarikat. Oleh yang demikian, pewarisan unit amanah adalah tertakluk kepada undang-undang probet dan pentadbiran di mana pentadbir atau wasi yang dilantik oleh mahkamah sahaja yang boleh menuntut harta si mati. Berbeza dengan KWSP dan Tabung Haji, di mana kedua-dua organisasi ini ditubuhkan di bawah akta masing-masing yang mempunyai peruntukan khusus membenarkan penamaan dilakukan.
- Mengapa ASNB memilih Hibah Amanah sebagai kaedah alternatif kepada kaedah sedia ada?
Tanpa kaedah alternatif dan instrumen perancangan harta pusaka seperti Hibah Amanah, proses pengagihan harta adalah rumit dan memakan masa yang panjang. Keadaan akan bertambah rumit sekiranya terdapat tuntutan bertindih dan tiada persefahaman antara waris. Melalui Hibah Amanah, ianya boleh membantu para pemegang unit merancang agihan pelaburan unit amanah kepada Penerima Hibah yang dinamakan dengan lebih cepat setelah pemegang unit meninggal dunia.
Hibah Amanah ini adalah berlandaskan hukum Syariah dan ianya boleh meliputi kesemua pelaburan di dalam tabung unit amanah ASNB. Hukum Faraidh masih menjadi tunggak pembahagian harta orang Islam. Oleh yang demikian, pemegang unit dinasihatkan untuk berlaku adil dalam membuat pembahagian Harta Hibah.
- Bolehkah Penerima Hibah Amanah berumur 18 tahun ke bawah menerima Harta Hibah?
Ya, boleh. Pemberi Hibah perlu melantik Penjaga sah bagi Penerima Hibah Amanah yang berumur 18 tahun ke bawah. Penjaga sah mestilah dari kalangan:
- ibu atau bapa
- datuk atau nenek
- abang atau kakak
- penjaga berdaftar yang dibenarkan oleh ASNB
- Di manakah permohonan Hibah Amanah boleh dibuat?
Permohonan boleh dibuat di seluruh cawangan ASNB.
- Apakah yang perlu dilakukan jika berminat untuk melakukan Hibah Amanah?
Lengkapkan dokumen berikut dan jelaskan pembayaran yuran pendaftaran:
- Borang Permohonan (PH1A)
- Satu salinan asal Surat Kuasa Wakil
- Adakah Penerima Hibah Amanah perlu mengesahkan persetujuan pembahagian hibah ini?
Ya, Ijab dan Qabul (sighah) adalah wajib. Maka perlu ada persetujuan pemberian dan penerimaan oleh kedua-dua pihak dan kedua-dua pihak mestilah menandatangani dokumen yang berkenaan.
- Bolehkah Pemberi Hibah Amanah menyertai atau menambah pelaburan melalui Skim Pelaburan Ahli KWSP ke atas tabung unit amanah yang dihibahkan?
Boleh. Bagaimanapun, baki tabung unit amanah tersebut mestilah kekal 1,000 unit ke atas sepanjang tempoh Hibah Amanah.
- Bolehkah Pemberi Hibah Amanah mengambil pembiayaan atau cagaran ke atas tabung unit amanah yang dihibahkan?
Boleh. Bagaimanapun, jumlah unit pelaburan tidak bercagar mestilah minimum 1,000 unit ke atas sepanjang tempoh Hibah Amanah.
- Adakah tabung unit amanah yang telah dihibahkan boleh ditangguhkan urusniaga, dibekukan atau perlu dikekalkan?
Tabung unit amanah yang dihibahkan boleh ditangguhkan urusniaga dan dibekukan sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa, perintah mahkamah, tertakluk kepada syarat-syarat Hibah Amanah, Perintah Mahkamah, Prospektus Induk, Surat Ikatan tabung unit amanah dan KWSP.
- Kenapakah baki minimum mestilah sebanyak 1,000 unit?
Salah satu syarat sah Hibah Amanah adalah terdapatnya barang atau harta yang dihibahkan. Oleh yang demikian, baki minimum sebanyak 1,000 unit bagi setiap tabung unit amanah yang dihibahkan adalah perlu bagi memastikan wujudnya Harta Hibah Amanah dalam bentuk unit amanah di dalam tabung unit amanah bagi tujuan pembahagian apabila berlakunya kematian Pemberi Hibah Amanah.
- Adakah Pemberi Hibah boleh menyenaraikan aset selain tabung unit amanah ASNB dalam perjanjian ini?
Tidak boleh. Hanya tabung unit amanah ASNB sahaja yang boleh dihibahkan.
- Bagaimanakah cara pembahagian Harta Hibah?
Setiap tabung unit amanah mestilah dihibahkan kesemua unit (100%) kepada Penerima-penerima Hibah Amanah yang disenaraikan.
Contoh: Pemberi Hibah Amanah mempunyai tabung unit amanah ASN Imbang 2. Pemberi Hibah Amanah mestilah menghibahkan 100% unit di dalam tabung unit amanah ASN Imbang 2 tersebut kepada Penerima-penerima Hibah Amanah yang telah dinamakan, seperti berikut:

- Bolehkah pindaan terhadap Penerima Hibah Amanah dilakukan?
Boleh. Bagaimanapun, pindaan boleh dilakukan jika melibatkan anak kandung dan cucu kandung. Sekiranya pindaan hendak dilakukan terhadap selain anak kandung dan cucu kandung, pembatalan Surat Ikatan Amanah perlu dilakukan dan Surat Akuan Penyerahan Harta Hibah Amanah perlu disediakan dan diserahkan semasa permohonan.
- Apakah tindakan yang perlu diambil jika berlaku kematian?
Sekiranya Pemberi Hibah meninggal dunia terlebih dahulu daripada Penerima Hibah, maka Harta Hibah akan dibahagikan mengikut pembahagian yang ditetapkan di dalam Surat Ikatan Hibah Amanah dan ianya adalah menjadi hak mutlak Penerima Hibah. Sebaliknya, sekiranya Penerima Hibah meninggal dunia terlebih dahulu daripada Pemberi Hibah, maka Harta Hibah tersebut akan dikembalikan kepada Pemberi Hibah.
- Apakah yang akan berlaku kepada baki tabung unit yang masih di bawah pembiayaan/cagaran jika Pemberi Hibah Amanah meninggal dunia?
Unit berpunca daripada pembiayaan/cagaran adalah tertakluk kepada perjanjian pemegang unit dengan IPP. Unit yang masih dalam pembiayaan akan dibayar kepada IPP. Hanya baki unit pelaburan (hak milik penuh) Pemberi Hibah Amanah sahaja yang akan dibayar kepada Penerima Hibah Amanah.
- Bolehkah saya membatalkan Hibah Amanah saya kepada selain anak kandung dan cucu kandung?
Pembatalan Hibah Amanah kepada selain cucu kandung dan anak kandung hanya boleh dilakukan dengan Surat Akuan Penyerahan Harta Hibah Amanah dan disertakan dengan DPD Penerima Hibah Amanah yang disahkan.
- Pengisytiharan Amanah
- Apakah yang dimaksudkan dengan Pengisytiharan Amanah?
Pengisytiharan Amanah merupakan perlantikan beberapa orang sebagai Penerima Harta Amanah oleh Pemegang Unit (Pemilik Harta Amanah) semasa hayatnya melalui Surat Ikatan Amanah. Pembahagian dan pembayaran dilakukan selepas kematian Pemilik Harta Amanah.
- Apakah yang dimaksudkan dengan Harta Amanah?
Harta Amanah adalah tabung unit amanah ASNB yang diamanahkan oleh Pemegang Unit pada masa hayat melalui Surat Ikatan Amanah:
- Tabung unit amanah mestilah diamanahkan kesemua unit atau 100% kepada Penerima Harta Amanah
- Baki unit pelaburan dalam setiap tabung unit amanah yang diamanahkan mestilah berjumlah 1,000 unit dan ke atas sepanjang tempoh Pengisytiharan Amanah
- Baki tabung unit amanah melibatkan milikan penuh/mutlak Pemilik Harta Amanah dan bukan unit bercagar
- Mengapa ASNB tidak mengadakan sistem penamaan yang lebih mudah seperti KWSP dan Tabung Haji?
Berdasarkan undang-undang Malaysia, unit amanah dikategorikan sebagai harta persendirian seperti saham-saham syarikat. Pewarisan unit amanah adalah tertakluk kepada undang-undang probet dan pentadbiran di mana pentadbir atau waris yang dilantik oleh mahkamah sahaja yang boleh menuntut harta si mati.
Berbeza dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Tabung Haji, kedua-dua organisasi tersebut ditubuhkan di bawah akta masing-masing yang mempunyai peruntukan khusus membenarkan 'penamaan' dilakukan.
- Mengapa ASNB memilih Pengisytiharan Amanah sebagai kaedah alternatif kepada kaedah sedia ada?
Tanpa kaedah alternatif dan instrumen perancangan harta pusaka seperti Pengisytiharan Amanah, proses pengagihan harta adalah rumit dan memakan masa yang panjang. Keadaan akan bertambah rumit sekiranya terdapat tuntutan bertindih dan tiada persefahaman antara waris.
Pengisytiharan Amanah boleh membantu pemegang unit merancang pengagihan pelaburan unit amanah kepada waris yang dikehendaki dengan lebih cepat setelah pemegang unit meninggal dunia.
- Siapakah yang layak membuat Pengisytiharan Amanah?
- Pemegang unit tabung unit amanah ASNB
- Warganegara Malaysia
- Berumur 18 tahun dan ke atas
- Beragama selain dari agama Islam
- Tidak Bankrap/ Muflis
- Waras
- Jika Pemilik Harta muflis selepas Surat Ikatan Amanah dimeterai, apakah yang akan berlaku?
- Pengisytiharan Amanah terbatal secara automatik
- Pembekuan tabung unit amanah Pemilik Harta akan dilaksanakan
- Hak-hak Pemilik Harta akan ditentukan berdasarkan kepada undang-undang Kebankrapan, mengikut arahan Jabatan Insolvensi Malaysia dan sebagainya
- Apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya Pemilik Harta hilang upaya, koma atau gila?
Pihak yang dilantik oleh mahkamah sebagai Penjaga Sah kepada Pemilik Harta berhak berurusan dengan ASNB bagi pihak Pemilik Harta.
- Apakah kelayakan Penerima Harta Amanah?
- Terhad kepada 10 orang bagi setiap Surat Ikatan Amanah
- Tidak bankrap
- Penerima Harta Amanah digalakkan menjadi pemegang unit berdaftar ASNB, jika layak
- Warganegara dan bukan warganegara
- Waras
- Semua agama dan kepercayaan
- Bolehkah Penerima berumur 18 tahun ke bawah menerima Harta Amanah?
Boleh. Pemilik Harta Amanah perlu melantik Penjaga sah bagi Penerima yang berumur 18 tahun ke bawah. Penjaga sah mestilah dari kalangan:
- ibu atau bapa
- datuk atau nenek
- abang atau kakak
- penjaga berdaftar yang dibenarkan oleh ASNB
- Dimanakah permohonan Pengisytiharan Amanah boleh dibuat?
Permohonan boleh dibuat di seluruh cawangan ASNB.
- Apakah yang perlu dilakukan jika berminat untuk melakukan Pengisytiharan Amanah?
Lengkapkan dokumen berikut dan jelaskan pembayaran yuran pendaftaran:
- Borang Permohonan (PH1B)
- Satu salinan asal Surat Kuasa Wakil
- Adakah Penerima perlu mengesahkan persetujuan pembahagian amanah ini?
Tidak perlu.
- Bolehkah Pemilik Harta Amanah menyertai atau menambah pelaburan melalui Skim Pelaburan Ahli KWSP ke atas tabung unit amanah yang diamanahkan?
Boleh. Bagaimanapun, baki tabung unit amanah tersebut mestilah kekal 1,000 unit ke atas.
- Bolehkah Pemilik Harta Amanah mengambil pembiayaan atau cagaran ke atas tabung unit amanah yang diamanahkan?
Boleh. Bagaimanapun, baki tabung unit amanah tersebut mestilah kekal 1,000 unit ke atas.
- Adakah tabung yang telah diamanahkan boleh ditangguhkan urus niaga atau dibekukan?
Tabung unit amanah yang diamanahkan boleh ditangguhkan urus niaga atau dibekukan, sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa, tertakluk kepada syarat-syarat Pengisytiharan Amanah, perintah mahkamah, Prospektus Induk, Surat Ikatan tabung unit amanah dan KWSP.
- Kenapakah baki minimum sebanyak 1,000 unit perlu dikekalkan?
Pemilik Harta Amanah dibenarkan melaksanakan urus niaga selepas mendaftar Pengisytiharan Amanah. Baki minimum sebanyak 1,000 unit bagi setiap tabung yang diamanahkan adalah perlu bagi memastikan masih wujudnya Harta Amanah dalam bentuk unit amanah di dalam tabung unit amanah untuk pembahagian apabila berlakunya kematian Pemilik Harta Amanah.
- Adakah Pemilik Harta boleh menyenaraikan aset selain tabung unit amanah ASNB dalam perjanjian ini?
Tidak boleh. Hanya tabung unit amanah ASNB sahaja yang boleh diamanahkan.
- Bolehkah pindaan terhadap Penerima Harta Amanah dilakukan?
Boleh, pindaan terhadap Penerima Harta Amanah boleh dilakukan.
- Bagaimanakah cara pembahagian Harta Amanah?
Setiap tabung unit amanah mestilah diamanahkan kesemua unit (100%) kepada Penerima-penerima yang disenaraikan.
Contoh: Pemilik Harta Amanah mempunyai tabung unit amanah ASN Imbang 2. Pemilik Harta Amanah mestilah mengamanahkan 100% tabung unit amanah ASN Imbang 2 tersebut kepada Penerima-penerima yang telah dinamakan, seperti berikut:

- Apakah tindakan yang perlu diambil jika berlaku kematian?
Sekiranya Pemilik Harta meninggal dunia terlebih dahulu daripada Penerima, maka Harta Amanah adalah menjadi hak mutlak Penerima sepenuhnya. Sebaliknya, sekiranya mana-mana Penerima meninggal dunia terlebih dahulu daripada Pemilik Harta, maka Harta Amanah tersebut akan dikembalikan kepada Pemilik Harta.
- Apakah yang akan berlaku kepada baki tabung unit yang masih di bawah pembiayaan/cagaran jika Pemilik Harta Amanah meninggal dunia?
Unit berpunca daripada pembiayaan/cagaran adalah tertakluk kepada perjanjian Pemilik Harta Amanah dengan IPP. Unit yang masih dalam pembiayaan akan dibayar kepada IPP. Hanya baki unit pelaburan (hak milik penuh) Pemilik Harta Amanah sahaja yang akan dibayar kepada Penerima Harta Amanah.
- Bolehkah saya membatalkan Pengisytiharan Amanah saya?
Boleh.